• Slider

    Ainul Azam & Co's Publications

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN - KEINGKARAN DAN IMPLIKASI UNDANG-UNDANG

Abstrak

Berikutan daripada penularan jangkitan wabak koronavirus (COVID-19) yang tidak terkawal bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' (Dr) Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin telah mengumumkan perlaksanaan suatu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac 2020 sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid 19 tersebut.

PKP yang telah berkuatkuasa selama dua minggu, bermula dari 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 telah selanjutnya dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Keterpakaian PKP ini merangkumi negeri-negeri di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Secara ringkasnya, PKP tersebut memperuntukkan bahawa :

  1. Tiada perhimpunan ramai - larangan umum mengenai pergerakan dan perhimpunan ramai, termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan kebudayaan.

  2. Penutup premis - rumah ibadat, premis perniagaan serta semua premis kerajaan dan swasta mesti ditutup, kecuali untuk:

    1. pasar raya, pasar awam, kedai serbaneka (termasuk kedai serbaneka yang menjual keperluan harian) (Kedai Penting); dan

    2. mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting untuk negara (air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, minyak, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, bekalan runcit dan makanan) (Perkhidmatan Penting).

  3. Penutupan untuk sektor pendidikan - penutupan semua:

    1. tadika, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah asrama, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan institusi utama, sekolah menengah dan pra-universiti yang lain; dan

    2. institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPT) dan institut latihan kemahiran.

  4. Larangan perjalanan dan keperluan:

    1. Warganegara Malaysia adalah dilarang keluar dari Malaysia;

    2. Warganegara Malaysia yang pulang dari perjalanan ke luar negara mesti menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin sendiri selama 14 hari; dan

    3. semua pelancong dan pelawat asing dilarang memasuki Malaysia.

Kuasa Pihak Polis di bawah PKP

PKP tersebut diperuntukkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APKPB) dan Akta Polis 1967 (AP). Pihak Polis dikehendaki memberi bantuan bagi tujuan membolehkan mana-mana pegawai yang diberi kuasa di bawah APKPB untuk melaksanakan PKP tersebut.

Pihak polis mempunyai kuasa untuk mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk:

  1. menahan atau menangkap mana-mana orang yang di bawah undang-undang diberi kuasa kepadanya untuk menangkap;

  2. menjalankan pendakwaan; dan

  3. memberi bantuan dalam menjalankan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan hasil, eksais, sanitasi, kuarantin, imigresen dan pendaftaran.

Liabiliti Atas Keingkaran PKP

Sebarang keingkaran serta ketidakpatuhan PKP tersebut adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 22 APKPB yang boleh didakwa di bawah Seksyen 23 APKPB.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman-hukuman di bawah Seksyen 24 dan 25 APKPB seperti berikut:

  1. berkenaan dengan kesalahan pertama, suatu denda dan/atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun;

  2. berkenaan dengan kesalahan kedua, denda dan/atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun; dan

  3. denda tambahan tidak melebihi RM200 untuk setiap hari di mana kesalahan sedemikian berterusan.

Perlu diambil perhatian bahawa APKPB tidak menetapkan had denda yang boleh dikenakan untuk kesalahan pertama dan kedua.

Sungguhpun begitu, rata-rata bagi kes-kes berkenaan keingkaran PKP tersebut, pendakwaan di Mahkamah dibuat berlandaskan peruntukkan-peruntukkan berikut :

  1. Peraturan (7) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya; dan

  2. Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menghalang tugas-tugas penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesimpulan

YAB Perdana Menteri Malaysia telah menegaskan bahawa tujuan penting pelaksanaan PKP tersebut ialah untuk memutuskan rangkaian jangkitan atau 'break the chain of infection' supaya jumlah yang dijangkiti wabak COVID-19 di Malaysia dapat dikawal dan dikurangkan.
Justeru itu, kesemua rakyat Malaysia termasuk badan-badan korporat, perniagaan dan individu adalah diseru dan disarankan untuk mematuhi PKP tersebut dalam tempoh PKP tersebut berkuatkuasa.

Ini adalah bagi merealisasikan objektif PKP tersebut dilaksanakan demi untuk membendung penularan berterusan wabak Covid 19 di Malaysia dan juga bagi mengelakkan mana-mana individu atau badan-badan dari sebarang implikasi perundangan termasuk pendakwaan yang disebabkan dari keingkaran atau ketidakpatuhan PKP tersebut.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkara di atas, anda boleh menghubungi firma kami di talian 03-2171 1484 dan bercakap dengan peguam kami Encik Mohd Saiful Hadi di talian 019-340 5271 atau di mail@azamlaw.com.

  1. General (10)
  2. COVID-19 & MCO (8)
  3. Competition Law (2)
  4. Islamic Banking and Finance (2)
  5. Funds and Asset Management (2)
  6. Intellectual Property Rights (5)
  7. Case Commentaries (6)
  8. Gallery (2)
For further clarifications, please contact us at mail@azamlaw.com